Thursday, April 14, 2016

Benarkah Nabi Musa seorang yang Gagap?


Mukadimah
Musa as adalah nabi yang utama dalam tiga agama samawi iaitu Islam, Yahudi dan Kristian. Ketiga-tiga agama ini mengangkat Musa as sebagai nabi utama mereka. Walaubagaimanapun, berbanding agama Islam dan Kristian, agama Yahudi adalah agama yang paling mengagungkan Nabi Musa as kerana penganut Yahudi percaya bahawa Musa as adalah pengasas ajaran Yahudi sepertimana Nabi Muhammad saw sebagai pengasas ajaran Islam dan Nabi Isa as sebagai pengasas ajaran Kristian.
Namun, tahukah pembaca semua bahawa Nabi Musa as adalah seorang yang gagap? Atau dalam erti kata lain Nabi Musa as mempunyai masalah dengan pertuturannya. Mungkin kita sebagai umat Islam tidak didedahkan mengenai perkara ini kerana bimbangkan ia berdosa kerana memperkecilkan kewibawaan seorang Rasul. Percayalah, miskipun Nabi Musa as seorang yang gagap, ia langsung tidak menjejaskan kewibawaan dan keterampilan baginda sebagai seorang Rasul dan pemimpin umat Yahudi dek kerana mukjizat-mukjizat yang terlampau banyak telah dianugerahkan kepada baginda. Penulis sendiri pada mulanya takut serta bimbang untuk menulis artikel ini, namun, atas dasar ingin berkongsi pengetahuan dan ilmu, penulis berdoa semoga penulisan artikel ini membantu pembaca di luar sana menghayati sirah-sirah nabawi.
Dengan lafaz bismillah, penulis mengharapkan pendedahan ini tidak dikaitkan dengan penghinaan Rasul. Percayalah ini bukan penghinaan tetapi suatu anugerah Allah swt kepada Musa as kerana kisah di sebalik kegagapan Nabi Musa as terkandung hikmah yang cukup besar.
Berdasarkan dalil al-Quran
Perlu diingatkan kepada pembaca semua bahawa kisah Musa as ini langsung tidak terkait dengan Israilliyat atau dogengan Yahudi. Kisah mengenai Musa as yang mengalami gagap ini ada diceritakan Allah swt dalam al-Quran dalam surah Toha  ayat 27.
Dan lepaskanlah kekakuan dari lidahku,
Dalam surah Toha , Nabi Musa telah mengadap Allah di satu lembah yang suci di Thuwa. Ada sumber mengatakan ia berada di Jabal Musa,Mesir dan ada juga sumber mengatakan ia berada di Bukit Zaitun, Palestin. 
12. Sesungguhnya Aku inilah Tuhanmu, maka tanggalkanlah kedua terompahmu; sesungguhnya kamu berada dilembah yang suci, Thuwa. 
Dalam perdebatan Nabi Musa as dengan Allah swt di lembah Thuwa itu, Nabi Musa telah diberikan dua mukjizat yang utama iaitu tongkat yang boleh berubah bentuk kepada ular dan tangan baginda yang boleh mengeluarkan cahaya putih.
Dalam perdebatan itu juga, Nabi Musa as telah memohon kepada Allah swt tiga perkara setelah Allah swt memerintahkan Musa as untuk menyeru seruan tauhid kepada Firaun laknatullah. Tiga permohonan Musa as itu adalah:-
1.         Doa dilapangkan dada dan dipermudahkan urusan
25. Berkata Musa: “Ya Tuhanku, lapangkanlah untukku dadaku
26. dan mudahkanlah untukku urusanku 
2.        Doa untuk dijadikan Harun as sebagai pembantu baginda
Ia diikuti pula dengan pemohonan Musa as kepada Allah swt untuk mengangkat Harun as selaku pembantunya dan seterusnya menjadi seorang Rasul Allah. Ia terkandung dalam ayat 29-34 dalam surah Toha .
29. dan jadikanlah untukku seorang pembantu dari keluargaku
30. (yaitu) Harun, saudaraku, 
31. teguhkanlah dengan dia kekuatanku,
32. dan jadikankanlah dia sekutu dalam urusanku,
33. supaya kami banyak bertasbih kepada Engkau,
34. dan banyak mengingat Engkau.
3.        Doa untuk menghilangkan kegagapan percakapannya
Dan permohonan Musa as yang ketiga adalah untuk menghilangkan kegagapan lidahnya. Dalam ayat 27-28 surah Toha  telah terkandung doa daripada Musa as kepada Allah swt.
27. dan lepaskanlah kekakuan dari lidahku
28. supaya mereka mengerti perkataanku,
 Walaubagaimanapun, menurut Ibnu Kathir, Musa as tidak memohon agar kekurangan dirinya itu dihilangkan secara keseluruhan, tetapi meminta agar dihilangkan kekakuan lidahnya hanya untuk orang kafir memahami apa yang diucapkan oleh Musa as.
Ia amat bersesuaian dengan satu lagi ayat Allah swt dalam surah Az-Zukhruf ayat 52 yang bermaksud;
52. Bukankah aku lebih baik dari orang yang hina ini dan yang hampir tidak dapat menjelaskan (perkataannya)?
Dalam ayat ini, kita dapat mengetahui bahawa Musa as masih lagi mempunyai kesukaran untuk mengucapkan sesetengah perkataan sepertimana yang diungkap oleh Firaun dalam surah Az-Zukhruf ayat 52 ini. Firaun ternyata masih lagi menghina Nabi Musa as semasa baginda berdakwah kepadanya. Jika sesetengah ahli tafsir mengatakan kekakuan kepada lidah Musa as hilang sepenuhnya, sesungguhnya ia adalah silap jika ia bersandarkan kepada dalil daripada surah Az-Zukhruf ini.
Sememangnya Nabi dan Rasul tidak pernah meminta untuk diubah sesuatu kekurangan tersebut menjadi sempurna dan Nabi dan Rasul adalah sebaik-baik manusia yang pernah mendiami muka bumi ini.

 Asalnya, Musa as tidaklah gagap
Sewaktu kecil, Musa as pernah mendiami istana Firaun laknatullah. Dalam satu peristiwa, Musa as yang ketika itu baru sahaja pandai merangkak telah diuji oleh Firaun. Ini adalah detik musibah kepada Musa as yang memberi kesan kepada lidahnya kemudian hari.
Dalam ujian itu, Firaun telah menguji Musa as dengan memberi pilihan kepada baginda antara kurma dan bara api. Pada mulanya, Musa as telah memilih kurma tetapi telah ditepis oleh Jibrail as. Ia menyebabkan Musa as mengambil bara untuk diletakkan di mulutnya. Akibatnya, Musa as meraung dan lidahnya melecur teruk dan apabila dewasa, Musa as tidak dapat mengucap sesuatu perkataan dengan elok dan sering tergagap-gagap.
Ujian daripada Firaun laknatullah itu adalah untuk menguji sama ada Musa as yang adalah seorang pembinasa kerajaannya kemudian hari atau seorang kanak-kanak biasa. Umum mengetahui bahawa Firaun telahpun bermimpi tentang seorang kanak-kanak akan muncul di kerajaannya untuk meruntuhkan empayar di bawah kekuasaannya. Dek kerana mimpi itu juga, semua bayi yang baru dilahirkan telah dibunuh dengan kejam dan Musa as adalah kanak-kanak yang bertuah kerana terselamat daripada kekejaman Firaun.

Penutup
Sebenarnya, Allah swt merancanakan sesuatu perkara dengan penuh hikmah dan kebijaksanaan. Dalam dunia hari ini pun, kekakuan lidah seorang individu langsung tidak melambangkan kecacatan. Ini terbukti dengan kejayaan individu seperti James Earl Jones(pernah melakonkan watak Darth Vader dalam filem Star Wars), Bruce Willis dan Anthony Hopkin dalam bidang lakonan. Mereka yang penulis senaraikan tersebut adalah antara individu terkenal yang mempunyai kegagapan dalam percakapan mereka.
Soal kelemahan atau kekurangan yang dihidapi oleh seorang Nabi dan Rasul langsung tidak menjadi persoalan. Contoh yang paling dekat adalah Rasul junjungan besar kita iaitu Muhammad saw. Nabi Muhammad saw adalah seorang yang ummi atau dalam erti kata lainnya, buta huruf. Dalam bahasa saintifik, buta huruf dikenali sebagai Disleksia. Namun, penulis ingin menyoal, adakah kekurangan yang ada pada diri Rasulullah saw itu menyebabkan baginda hilang perhormatan atau hilang kepercayaan daripada pengikutnya?
Tidak pernah bukan?
Rasulullah saw bukan sahaja tidak hilang penghormatan mahupan kepercayaan daripada pengikutnya tetapi beliau disanjung sebagai insan yang sangat sempurna yang pernah dilahirkan di bumi Allah swt ini.
Dengan itu kekurangan yang dialami oleh Nabi Musa as iaitu kegagapan bukan penghinaan tetapi satu anugerah besar kepada baginda. Rasul yang digelar dengan Kalimullah ini bukan sahaja diangkat sebagai pakar ilmuwan oleh pengikutnya tetapi juga sebagai panglima besar di dalam kaumnya. Bagindalah pemimpin agung kaum Yahudi sebelum tibanya Nabi Yusyak as, Nabi Daud as dan Nabi Sulaiman as sebagai pemimpin kaum Yahudi. Adakah kekeluan lidah baginda menghalangnya? Jawapan yang pasti..TIDAK!.

https://takusahrisau.wordpress.com